Page Menu

Just some blog. Do people even read nowadays?

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Jenis-Jenis Babi Yang Anda Perlu Tahu


Bila tengok gambar anak-anak babi comel di atas, teringat satu kisah di mana seorang perempuan Melayu sedang berjalan-jalan dengan motornya di sekitar kampung lalu terserempak dengan salah seekor anak babi. Perempuan itu pun mengangkat lalu memasukkan haiwan itu ke dalam bakul motornya sebelum membawa ia pulang ke rumah. Setibanya dia di kampung, perempuan itu menunjukkan penemuannya kepada jiran sebelah rumah sambil dengan girang memberitahu dia hendak membela "anak rusa yang ditemuinya di tengah jalan"...

Berbalik kepada blog ini, mesti pembaca tertanya-tanya kenapa kita perlu tahu jenis-jenis babi melalui artikel ini? Kenapa banyak sangat jenis babi yang ada dalam dunia ini? Kenapa artikel ini ditulis? Entahlah, baca sajalah kalau rajin...

(AMARAN: SILA JANGAN BACA ARTIKEL INI SEKIRANYA ANDA SEDANG MENGANDUNG. PENULIS TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB KE ATAS ANAK YANG TERKENA KENAN MELALUI ARTIKEL INI)

Babi Hutan

Semasa kecil babi hutan kelihatan sangat comel iras anak rusa. Apabila besar ia sudah tak comel lagi. Sepatutnya babi jenis ini tinggal di hutan. Namun baru-baru ini sering tular tentang babi hutan masuk ke kawasan sekolah, kompleks membeli-belah (ingat tak kes Alamanda tahun lepas?), restoran, kedai runcit serta masjid. Mungkin babi sudah bosan duduk di hutan. 

Babi Kunekune

Babi New Zealand ini diberi nama Kunekune yang bermaksud "gemuk dan bulat" dalam bahasa Maori. Babi Kunekune biasanya dibela sebagai haiwan peliharaan, namun dagingnya juga dikatakan bermutu tinggi. Warna bulu badan babi Kunekune berbeza-beza - ada yang berwarna hitam, perang, jingga, dan putih, malah ada yang mempunyai corak bertompok. Sikap babi Kunekune yang manja, mesra kanak-kanak dan gemar makan rumput menjadikannya haiwan peliharaan pilihan ramai.

Babi Meishan

Babi China yang memiliki telinga panjang dan kulit hitam yang menggelebeh. Daging babi Meishan menjadi permintaan ramai kerana ia berwarna merah gelap mirip daging lembu. Ramai penggemar daging babi Meishan juga mengakui bahawa rasanya lebih sama dengan daging lembu berbanding daging babi.

Babi Sungai Merah

Babi Afrika ini gemar bermain air di sungai dan mempunyai bulu badan berwarna merah keperangan. Ia boleh berenang dan hidup liar secara berkumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada seekor babi jantan dan 6 hingga 30 ekor babi betina. Babi Sungai Merah sering diburu manusia kerana perbuatannya yang suka merosakkan tanaman di kebun dan ladang.

Babirusa

Babi Indonesia ini mempunyai wajah yang menggerunkan kerana memiliki dua gigi taring yang menjulur keluar dan melengkung seperti gading gajah. Namun begitu ia tidak diberi gelaran babi gajah. Daging Babirusa sukar diperolehi di pasaran kerana ia merupakan hidupan liar yang terpelihara.

Babi Yorkshire

Spesis Peppa Pig dari England. Babi Yorkshire bersaiz besar, badannya berbentuk panjang dan berwarna merah jambu. Baka babi Yorkshire menghasilkan daging paling komersil kerana rata-ratanya daging babi baka tersebut diagihkan dalam pasaran daging ternakan secara meluas di seluruh dunia.

Babi Gottingen

Sepupu Peppa Pig dari Jerman yang merupakan babi paling kecil dalam dunia. Oleh kerana kecomelan saiznya, babi Gottingen diberi gelaran "babi mikro" atau "babi cawan teh" (kerana boleh muat dalam cawan teh) dan ia tidak mengandungi cukup daging untuk dimakan. Ia cuma dibela sebagai haiwan peliharaan dan sebagai ganti tikus makmal bagi tujuan kajian perubatan.

Babi Juliana

Tak bermaksud nak maki orang bernama Juliana di sini, tetapi memang inilah nama baka babi tersebut. Seperti babi Gottingen, babi Juliana merupakan baka babi kerdil yang cuma dibela sebagai haiwan peliharaan dan bahan ujikaji makmal perubatan. Babi Juliana dikenali dengan badannya yang berbintik hitam. Babi Juliana terpilih menjadi haiwan peliharaan kerana kecerdasan akalnya yang mampu memberi fokus terhadap butiran maklumat dalam jangkamasa lama serta menghafal perkara yang baru dipelajarinya. Mungkin babi Juliana juga boleh mengatasi markah anda dalam peperiksaan.

Babi Mangalitsa

Ini babi ke kambing biri-biri? Inilah babi Mangalitsa yang terkenal dengan bulu tebal mirip bulu kambing biri-biri. Dagingnya amat lembut dan bermutu tinggi sehingga meraih gelaran sebagai "Wagyu daging babi". Disebabkan keenakan daging babi Mangalitsa, dagingnya dijual 20 kali ganda lebih mahal daripada daging babi biasa di pasaran. Bulu babi Mangalitsa juga boleh dijadikan benang untuk menghasilkan baju sejuk.

Babi Perut Buncit Vietnam

Jangan salah sangka, ini bukan kerbau! Ini ialah babi Vietnam yang diternak oleh penduduk tempatan negara tersebut kerana dagingnya. Babi Vietnam ini memiliki bulu badan berwarna hitam, kulit yang kendur dan perut yang jatuh ke bawah. Daging babi Perut Buncit Vietnam selalunya dihidang sebagai bahan utama dalam banh mi (sandwic Vietnam) dan thit ko (sup daging babi reneh dengan telur)

Babi Tamworth

Seperti babi Yorkshire, babi Tamworth juga berasal dari England dan dibela untuk dagingnya. Namun babi Tamworth tidak mudah diternak di ladang secara komersil seperti Yorkshire. Babi Tamworth dikenali melalui warna bulunya yang kemerahan dan bentuk fizikal yang tegap. Babi Tamworth merupakan antara baka babi tertua dan memiliki daya ketahanan tinggi.

Babi Telinga Lop Britain

Babi England ini dinamakan sedemikian kerana mempunyai telinga yang panjang sehingga menutupi matanya.

Babi Protes Denmark

Semasa orang-orang Denmark tinggal di bawah pemerintahan kerajaan Prussia, mereka diharamkan daripada mengibarkan bendera negara asal mereka. Oleh itu orang-orang Denmark membela babi Protest Denmark yang memiliki bulu berjalur merah dan putih menyerupai corak bendera mereka sebagai tanda bantahan.

Babi Kutil Jawa

Babi Jawa ini dianggap oleh penduduk tempatan sebagai babi hutan yang paling hodoh dalam dunia. Populasi babi Kutil Jawa dikatakan semakin berkurangan akibat diburu oleh manusia untuk keseronokan, dan ada kemungkinan ia akan pupus dalam masa terdekat. 

Babi Kutil Afrika

Inilah babi Afrika yang ditampilkan dalam filem Lion King sebagai kawan baik si Timone tu. Babi Kutil Afrika mempunyai daya kelangsungan hidup yang tinggi dan mampu bertahan tanpa air sehingga berbulan lamanya.